Resepi Sahur Mengenyangkan Oleh Cikgu Fitness Malaysia - Jom Affiliate 24/7

Latest

Another Affiliate Next Door

Friday, 26 May 2017

Resepi Sahur Mengenyangkan Oleh Cikgu Fitness Malaysia



Assalamualaikum dan salam ceria.

Kita kini di penghujung Syaaban dan umat Islam akan menyambut 1 Ramadan kurang 24 jam dari sekarang dan ini juga menandakan  akan bermula ibadah menunaikan rukun Islam ke empat iaitu puasa. Tatkala bercerita mengenai puasa satu lagi perbuatan yang kita biasa lakukan bahkan digalakkan melakukannya adalah bersahur. Apa itu sahur? Secara ringkasnya Sahur merujuk kepada makan di waktu pagi sebelum berpuasa di siang harinya pada bulan Ramadan. Mengapa perlu bersahur? Apa kepentingannya? Oh ya...ramai yang sedia maklum jika tidak bersahur puasa tidak terbatal. Tetapi mengapa umat Islam digalakkan bersahur walau seteguk air dan sebiji tamar. Jom kita kongsi ilmu.

Sebelum itu mari fahamkan apa kata Dr. Maza mengenai puasa sebelum kita lihat informasi mengenai bersahur dan satu cadangan menu menarik sahur yang berkhasiat untuk semua.

PUASA MENDIDIK DIRI DAN MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH S.W.T


Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.

SUNNAH BERSAHUR

Sahur tidak diwajibkan maka ia adalah sunnah namun amat digalakkan. Sahur umat Islam dalam menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan yang akan membezakan antara sahur muslim dan sahur Yahudi. 

Di bawah ini dikongsikan beberapa sabda Nabi s.a.w mengenai kepentingan bersahur.

Sabda Nabi s.a.w: “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. 
(Riwayat Muslim).

Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w : “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Sabda Nabi s.a.w:  “Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” 
(Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Nabi s.a.w bersabda: “Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. 
(Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

BERSAHUR DENGAN TAMAR DAN BERBUKA DENGAN TAMAR

Jelas sekali umat Islam bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar bahkan bersahur walau pun dengan sebiji tamar. 


 MERANCANG SAHUR DENGAN MAKANAN SUNNAH


Sekarang kita sudah tahu tamar sangat digalakkan untuk kita ambil semasa sahur. Jadi apa kata tahun ini kita rancang menu apa yang terbaik bagi keluarga untuk makan sahur selain tamar. Bagi yang memilih nasi untuk bersahur memang mudah sebab banyak panduan resepi dan menu masakan yang sedap lagi berbeza boleh kita rujuk sama ada buku resepi, blog masakan atau majalah resepi. 

Bagi yang biasa ringkas dalam sahur pula mungkin roti,kuih,segelas susu atau minum air kosong menjadi pilihan. Alasan terbaik? Ringkas dan cepat. Biasanya mereka yang bersahur begini berbukanya sangat 'meriah ' juadahnya. Betulkah? Tepuk dada tanya iman.

Kali ini bagi yang memang suka makan 'berat ' ketika sahur apa kata cuba bersahur sekali-sekala tanpa nasi tetapi masih mampu mengekalkan rasa kenyang dan tenaga untuk melakukan tugasan harian. Apa-apa pun yang penting kita rancang apa menu yang berkhasiat dan boleh hasilkan rasa kenyang lebih lama. Lebih-lebih lagi jika ada di antara kita mempunyai anak yang pertama kali akan menunaikan puasa. Sebagai parents ini bakal mencabar kesabaran diri anda dalam menanggani kerenah tak diduga si anak.

Seperkara lagi,  tahukan anda bahwa fiber dan protein adalah dua sumber makanan yang membuatkan penghadaman bekalan tenaga lebih perlahan ? Maksudnya tahan lama dari berasa lapar. Ya betul. 

Dan  tip menarik yang anda mesti tahu bagi yang 'wajib' makan nasi untuk sahur, kita memang tahu nasi, roti dan bijirin adalah sumber karbohidrat yang baik. Tetapi untuk impak kenyang lebih lama kita boleh pilih sumber yang lebih kompleks seperti oats, nasi perang, atau roti perang sebab ia lambat hadam. Maka kita akan kenyang dengan lebih lama.

Jom cuba menu seperti di bawah untuk permulaan sahur pertama kita pada tahun ini. Tonton video di bawah.




Bahan
  • Instant Quaker Oatmeal
  • Air Panas, Susu biasa atau susu Almond
  • Kacang
  • Chocolate chips
  • Kurma saiz sederhana.


Ta-daaaa.... itu sahaja perkongsian Madam hari ini. Macam sedap dan tentunya berkhasiat cadangan resepi sahur oleh Kevin Zahri. Jom cuba!

"Sahur itu seluruhnya membawa keberkatan. Oleh itu, janganlah kalian tinggalkan, meskipun kalian hanya meminum seteguk air . Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya ber-shalawat (berdoa) untuk orang-orang yang melakukan sahur."
(Hadits, riwayat Ahmad).


Kepada seluruh umat Islam dan pembaca blog Madam ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa 2017.

No comments:

Post a Comment