Kejayaan Anak Adalah Kejayaan Ibu Bapa - Jom Affiliate 24/7

Latest

To Be Rich Act Like A Lady Think Like A Man

Monday, 11 December 2017

Kejayaan Anak Adalah Kejayaan Ibu Bapa



Salam sejahtera dan selamat pagi.

Kita masih dalam suasana cuti sekolah khususnya murid, pelajar, guru dan ibu bapa. Entri kali ini agak lambat kerana tiba-tiba saya bercerita mengenai kejayaan anak-anak kita beru-baru ini. Sebenarnya saya mahu berkongsi mengenai cara berhibur masa kini tapi masih mengekalkan penjimatan kuota Internet bagi ibu bapa muda yang ada anak kecil berusia 2 hingga 5 tahun. Tapi nampaknya saya beralih rasa dan ada perkara lebih signifikan yang perlu saya sampaikan.


Izinkan saya bercakap sebentar.

Sempena cuti sekolah, apa program anda bersama anak-anak di rumah? Bercuti makan angin, tuisyen, beriadah atau berehat di rumah. Terpulang pada kita kerana keinginan dan kepuasan kita tidak sama. Yang penting kita cipta satu program bermanfaat untuk anak-anak. Bagi murid Tahun 6 yang baru sahaja mendapat keputusan UPSR tahun ini berapa A berjaya 'dikutip'? Kepada yang mendapat straight A, anda memang dalam liga tersendiri. Kepada yang berjaya juga mengumpul A tahniah. Dan bagi yang tiada huruf A, ibu bapa kena 'double up' usaha untuk membantu anak untuk berjaya dan lebih berketrampilan dalam pembelajaran sebelum masuk Tingkatan 1 pada 2018.

Saya masih ingat lagi UPSR satu ketika dulu saya mendapat kesemua subjek A. 4A pada ketika itu. Berbeza kini, murid dikira cemerlang akademik jika berjaya mendapat 6A. Saya sangat 'struggle' pada usia masih di sekolah rendah dan memang ada keinginan mahu berjaya dalam UPSR. Ditambah lagi dengan sokongan dan dorongan ibu bapa yang kami panggil mami dan abah. Terutamanya ibu yang tidak bekerja saya masih  ingat sejak usia 3 tahun sudah diajar secara serius di rumah ABC dan 123. Saya tidak ke tadika kerana mungkin ibu pada waktu itu mahu mendidik kami sendiri di rumah. Berbeza kini, ramai yang memilih menghantar ke tadika. Itu tidak menjadi masalah, mahu hantar anak ke prasekolah atau tadika satu kelebihan. Yang penting, peranan ibu bapa mendidik di rumah selepas menerima ajaran para guru di sekolah.


Kembali pada topik.

Saya percaya anak berjaya kerana usaha ibu bapa. Kenapa saya cakap begitu? Saya adalah 'produk' yang berjaya kerana didikan dan usaha gigih ibu bapa. Terutamanya ibu. Saya tahu kaedah belajar dulu dan kini tidak sama dan ada bezanya. Sejak akhir-akhir ini saya sering terbaca perkataan 'kecam' di media sosial. Contohnya mereka menulis begini dan mohon pendapat rakan-rakan di atas talian.

"Saya mempunyai anak berusia 5 tahun dan masih belum pandai membaca, menulis dan mengira. Kami bercadang mahu menghantar anak yang satu ini ke tadika tahun hadapan. Kalian rasa bolehkah? Apa saya patut buat? Adakah anak saya akan dapat belajar di tadika? Sila jangan kecam saya."

Saya sendiri tidak pasti apa masalah yang dihadapi ibu bapa sebegini. Mungkin mereka tiada masa sebab bekerja 5 hari seminggu. Anak terlalu obses dengan gajet memandangkan ini zaman sains dan teknologi di mana informasi di hujung jari. Anak tiada minat dengan buku dan pensel. Atau anak sebenarnya  mengalami masalah untuk fokus kerana penyakit atau masalah tertentu yang kita tidak ketahui. Saya tidak tahu. Tetapi sebagai ibu bapa kepada anak kita sendiri kita kena ambil tahu. Sebab itu zuriat kita sendiri. Hanya kita yang tahu dan kenal.

Kita sama sahaja...bekerja di luar rumah, di hadapan komputer atau di rumah. Sibuk dengan cara tersendiri.

Pertama sekali saya nak beritahu, sama ada kita dari kategori yang bekerja dengan majikan, bisnes sendiri, atau bekerja di rumah kita mempunyai tugasan dan ada masanya begitu sibuk. Bagi wanita yang perlu keluar rumah dan wanita tidak perlu keluar rumah demi bekerja dan membantu suami, juga berada dalam situasi kesibukan tersendiri. Maka tiada alasan ibu atau bapa 'terpaksa' mengabaikan keperluan pendidikan anak-anak yang perlukan ilmu dan 'something' untuk menerajui diri mereka kelak pada tahun 2038.

Pada masa itu kita sudah tentu kurang berkemampuan dek usia semakin meninggi atau faktor lain. Pada masa ini, kita mungkin berfikir kita tidak perlukan anak-anak kerana kita masih kuat dan gagah mencari rezeki tapi hakikatnya kita memerlukan kudrat mereka pula apabila tiba masanya. Kita perlukan generasi muda (anak-anak) pula untuk menerajui diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Betul atau tidak?

Zaman sekarang adalah zaman berlumba-lumba mahu mendidik anak supaya bijak!



Saya percaya sekarang adalah masanya kita berlumba mendidik anak agar bijak. Anda bagaimana? Tepuk dada, tanya minda.

Rasanya tidak ada yang akan beritahu kita secara mendalam cara mereka mendidik anak-anak sendir di rumah. Apa usaha mereka. Apa mereka lakukan bersama pasangan untuk menjadikan anak-anak bijak di sekolah cerdik di rumah. Ibu bapa adalah kuncinya. Anda bijak mengatur kehidupan pendidikan anak maka biasanya anak akan berjaya mengikut haluan yang ditentukan. Kena mulakan dari awal. Jangan salah faham. Saya masih ingat pensyarah projek semasa di Multimedia College berketurunan India memberitahu kami dalam kelas bagaimana dia membelikan buku untuk anaknya sejak usia 1 tahun.



"Saya ada anak tidak ramai. Saya belikan anak-anak saya buku-buku (murah) yang saya tahu dia akan koyakkan. Memang saya beli buku agar anak saya koyak. Supaya dia terbiasa pegang buku, lihat buku sejak kecil lagi. Bila besar pasti anak saya akan mahukan buku."

Memang betul, anak beliau sudah besar dan memang suka membaca. Bijak bukan cara pensyarah lelaki ini mendidik anak untuk 'cintakan' buku?


It's all about gadjet!

Kita tak dapat lari dari gajet. Saya juga pengguna gajet. Seperti anda semua ada telefon pintar walau tidak mahal, komputer untuk membuat tugasan kerja, televisyen sebagai medium informasi, video player sebagai hiburan sebagai contoh. Di rumah kita di kelilingi gajet dan peralatan demi memudahkan urusan dan impian kita untuk berjaya. Semunya lengkap!

Satu sahaja masalah kita. Nak tahu apa?

Kita tidak menghargai kemudahan. Kita tidak pintar menggunakan talian yang laju dan tanpa sempadan. Kita berseronok tanpa had melayari sempadan (Internet) yang diberikan. Kita tidak sedar kemudahan yang dipinjamkan sementara ini boleh membawa kita mencapai impian yakni berjaya dalam pendidikan. Kita boleh mencari ilmu dan belajar dari media yang sedia ada. Rugikan?


Jangan kecam saya!

Saya ini penulis. Kita semua penulis sebenarnya kerana memang kita pandai menulis. Cuma bezanya terpulang pada kita mahu meletakkan diri kita di ketinggian mana sebagai  penulis. Sebagai penulis yang suka berkongsi dan mengekspresi kami menulis berdasarkan pemerhatian. Apa yang kami nampak, kami dengar dan kami dapat tahu kami akan sedaya upaya menulis demi berkongsi. Bahan kami untuk menulis adalah anda dan persekitaran. Harap maklum.

Bagi yang belum tahu, saya baru sahaja siap menulis pengalaman kehamilan anak pertama. Ada maklumat yang saya tulis dan cuba sampaikan di situ. Ada ilmu yang saya kongsi. Pengalaman. Itu yang mahal. Kepada yang mahu menulis, ayuh bertindak sekarang. Ceritakan apa yang ada dalam diri anda. Kongsikan sahaja.


Mencari tajuk dan idea seterusnya.

Masalah terlalu banyak menghimpit kita. Penyelesaian mesti kita sama-sama cari. Jadikan kejayaan dan kegagalan sebagai alasan untuk terus berjaya dan kembali hebat. Kalau berjaya jangan lupa berkongsi. Kalau gagal cepat-cepat fikirkan jalan, buat perancangan dan terus pandang ke depan. Yang lepas biarkan sahaja. Yang penting kita ubah jalan untuk capai kejayaan dan kekayaan!

PS: Mahu hidup senang zaman akan datang, kena cari ilmu bermula sekarang!



No comments:

Post a Comment

Your Words Here Reflects Your Mind. Share Your Best Words. Gracias!

Total Pageviews